wrapper

Berita Terkini

الخميس 17 شوّال 1440   |   Thursday 20 June 2019

 

KUALA LUMPUR - “Sebagai umat Islam, bulan Ramadan ini merupakan bulan mengasuh diri, supaya memenangi sifat-sifat yang baik iaitu mengukuhkan peribadi, membangunkan diri kita,” kata Presiden IKRAM, Dr Hj Mohd Parid Sheikh Ahmad ketika merasmikan Majlis Iftar Perdana Amal Hidayah Centre ke-15 di sini.

Beliau berkata, terdapat tiga misi besar yang dibawakan oleh Nabi Muhammad SAW iaitu membina manusia, membina negara dan membina tamadun yang mana berlaku satu persatu hingga ke fasa yang terakhir.

“Persoalan yang dihadapi oleh umat manusia sebenarnya berpunca daripada manusia itu sendiri. Jadi manusia itu perlu dibangunkan semula, mempunya disiplin diri, peribadi yang baik, kuat, kukuh dan menjadi contoh kepada yang lain.”

Seterusnya mereka boleh melahirkan impak yang baik kepada persekitaran, lingkungannya yang dekat juga yang jauh, sama ada lingkungan dalam negaranya atau dunia.

“Umat Islam juga diunjurkan ikut serta membina dan membangunkan atas landasan yang betul iaitu hasil daripada dialog, perbincangan bersama rakyat serta tunjuk ajar golongan ilmuan dan bijak pandai seterusnya kita perlulah bekerjasama membina negara ini,” tegas Dr Parid.

Menurutnya, bukan setakat itu sahaja, umat Islam perlu bergerak ke hadapan dengan ikut serta membangunkan satu tamadun yang boleh menyantuni umat manusia seluruhnya.

“Itulah yang diharapkan daripada keterlibatan (engagement) antara masyarakat majmuk yang ada di Malaysia ini iaitu Muslim dengan bukan Muslim mengadakan dialog, pertemuan, interaksi, engagement yang membina diri, lingkungan, persekitaran, masyarakat, yang mana akhirnya keadaan negara bertambah baik."

Tambahnya, ia perlu dilakukan supaya akhirnya kita mengecapi sebuah negara yang maju, sebuah negara yang boleh menyantuni seluruh rakyatnya dengan sebaik-baik santunan serta berlaku adil kepada semua, kerana inilah yang disarankan Islam.

Dalam pada itu, tidak terkecuali asas akhlak yang baik, yang tersebar dan diamalkan oleh seluruh rakyat negara ini merupakan budaya-budaya yang baik, nilai-nilai yang dipegang boleh diterima di peringkat universal.

“Dalam tamadun yang dibangunkan ini, akan menjelaskan kepada semua manusia tentang keperluan, sikap toleransi dalam beragama itu sendiri kerana kita tidak boleh memaksa orang lain masuk ke dalam agama ini. Tetapi dakwah tetap kita lakukan dan jika mereka yakin dengan agama ini, tentunya mereka akan masuk. Jadi, itulah toleransi yang sebenarnya.”

Dalam suasana tamadun begini jelasnya, seharusnya ilmu diperkasakan, ilmu diangkat, dijunjung setinggi-tingginya. Jadi semua rakyat perlu belajar, berusaha untuk memiliki ilmu pengetahuan yang cukup supaya boleh memajukan negara ini.

“Pembelaan terhadap kemanusiaan manusia, sebagaimana yang ditegaskan dalam Islam, ia perlu diangkat kerana Allah SWT telah menjadikan sangat berbeza daripada yang lain, jadi ia perlu diangkat sebaik-baiknya, agar dapat dikembangkan, dibangunkan dan dibawa untuk maju ke hadapan.”

Beliau berharap dengan usaha-usaha yang dilakukan Hidayah Centre Foundation (HCF), golongan saudara baru akan mendapat pembelaan yang sepatutnya, keluarga mereka disantuni dengan sebaik-baiknya, begitu juga bukan Muslim akan memperolehi engagement yang baik daripada umat Islam.

“Saya harap HCF akan terus berkembang, membawa ramai lagi masyarakat mempercayai Islam, beriman dengan Islam yang mana akhirnya mereka menjadi anggota masyarakat yang baik, meningkatkan kualiti diri, serta memainkan peranan mengembangkan unsur-unsur baik dalam negara ini.”

Majlis Iftar Perdana Amal Hidayah Centre merupakan acara tahunan HCF untuk meraikan para mualaf dan mengumpul dana bagi aktiviti dakwah non-Muslim, menguruskan dan memberikan bimbingan kepada saudara baru di Malaysia.

Untuk maklumat lanjut, sila layari https://hidayahcentre.org.my/

Last modified on Tuesday, 28 May 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!