wrapper

Berita Terkini

الأحد 13 شوّال 1440   |   Sunday 16 June 2019


KUALA LUMPUR - Islam mengiktiraf peranan lelaki dan wanita yang saling melengkapkan untuk membangunkan masyarakat dan negara, menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri, YB Datuk Seri Dr Mujahid Yusof.

“Islam juga mengiktiraf perbezaan biologi wanita dan lelaki. Perbezaan ini semestinya mempengaruhi peranan masing-masing yang saling melengkapkan untuk membangunkan struktur masyarakat yang utuh,” jelas beliau semasa merasmikan Seminar Hari Wanita Antarabangsa 2019 pada Ahad lalu.

Dihadiri kira-kira 300 orang peserta, seminar yang telah berlangsung di Dewan Besar Institut Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) dianjurkan bersama IKIM dan Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) dengan kerjasama Yayasan Warisan Ummah dan Persatuan Gerak Wanita Islam Malaysia (Gerakwanis) serta rakan media Kumpulan Media Karangkraf, Sinar Harian dan TV AlHijrah.

Tambahnya, Islam mengiktiraf wanita dan lelaki sebagai individu yang diciptakan mempunyai peluang yang sama untuk beramal ibadah di hadapan Allah SWT.

Beliau memetik firman Allah SWT dalam Surah an-Nahl ayat 97 yang bermaksud:

“Sesiapa yang beramal soleh dari lelaki atau perempuan, sedang ia beriman maka sungguh Kami akan menghidupkan ia dengan kehidupan yang baik; dan sesungguhnya Kami akan membalas mereka dengan pahala yang lebih baik dari apa yang telah mereka kerjakan”.

Kerajaan Malaysia, tegasnya, melalui pelbagai kementerian dan agensi-agensinya komited dalam usaha memberdayakan wanita di Malaysia tanpa mengira bangsa, agama dan taraf sosioekonomi.

“Dasar-dasar kerajaan sudah semestinya akan cuba diselarikan untuk memastikan kesejahteraan dan keselamatan wanita terpelihara, dan akses kepada perkhidmatan awam, kesihatan, pendidikan, peluang ekonomi serta penjawatan di peringkat profesional tertinggi adalah tersedia bagi semua, mengikut lunas-lunas perlembagaan Malaysia.”

Menurut Dr Mujahid, kerajaan amat mengalu-alukan usaha sama pihak swasta, korporat dan badan-badan bukan kerajaan dalam perjuangan meningkatkan jati diri dan keupayaan setiap lapisan masyarakat, baik lelaki mahupun wanita.

“Kita perlu membangunkan mekanisme inovatif dari segi amalan kerja mahupun infrastruktur fizikal, agar tidak seorang pun rakyat Malaysia, baik wanita mahupun lelaki, terhalang daripada mencapai potensi tertinggi masing-masing.”

Antara inisiatif inovatif yang telah dimulakan kerajaan adalah mewujudkan skim tabungan untuk suri rumah yang dijenamakan sebagai ‘Skim Caruman Insentif Suri (i-Suri)’ dan buat pertama kalinya kerajaan telah menubuhkan jawatankuasa terpilih dalam parlimen untuk melihat isu terkait kesaksamaan gender dan hak asasi manusia yang diketuai oleh YB Nor Azrina Surip, Ahli Parlimen Merbok.

Melancarkan buku “CEDAW: Pengaruh dan Impak Undang-Undang Antarabangsa Terhadap Pembangunan Wanita Malaysia”, beliau mengucapkan tahniah kepada Wanita IKRAM dan menyifatkan buku itu sebagai salah satu usaha membawa naratif pertengahan dalam konteks perjuangan memartabatkan perjuangan wanita.

Last modified on Tuesday, 19 March 2019

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected].org.my
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd