Print this page


Timbalan Presiden IKRAM, Prof Madya Hj Badlishah Sham Baharin mengakui IKRAM ditohmah sebagai liberal oleh pihak yang tidak bersetuju dengannya. Malah, katanya, IKRAM pernah diberi pelbagai tohmahan yang lebih teruk daripada itu lagi.

Menurut beliau yang baru dilantik sebagai Timbalan Presiden IKRAM bagi sesi 2018-2020, tohmahan tersebut diberikan kerana ada pihak-pihak yang melihat IKRAM seolah-olah tidak mengangkat agenda Islam ataupun Melayu.

Membetulkan tanggapan tersebut, beliau menegaskan seseorang penganut beragama Islam seharusnya memberi ruang kepada semua masyarakat untuk memberi sumbangan.

“Mereka (pengkritik) mungkin melihat IKRAM seolah-olah ingin merendahkan martabat Islam ataupun Melayu dan ini tidak benar”.

“Islam ini sebenarnya rahmah, memberi ruang kepada semua orang untuk mereka memberi sumbangan kepada pembangunan negara.”

Badlishah menambah, perbuatan ini dicontohi daripada kepimpinan Rasulullah SAW ketika di Madinah dalam membangunkan negara.

“Kita mahu bawa semangat yang sama. Semangat masyarakat berganding bahu dan dalam masa yang sama mempertahankan negara daripada musuh luar,” katanya dalam sesi wawancara bersama wartawan IKRAMedia.

Sebagai mantan Pengerusi Jawatankuasa Madani IKRAM dan berpengalaman dalam menjalin kerjasama dengan masyarakat pelbagai kaum, beliau melihat IKRAM kini mempunyai reputasi yang baik di mata masyarakat.

“Saya agak teruja apabila kita dapat bekerjasama dengan NGO bukan Islam untuk membawa masyarakat ke arah perpaduan, keharmonian dan integrasi nasional.”

“Mereka melihat mesej yang dibawa oleh IKRAM yang berbentuk inklusif, dan mahu bersama sebagai rakan kongsi dalam pembangunan negara. Dan ini mesej yang baik.”

“Bukan mudah mahu bekerjasama dengan mereka yang lain agama dan kaum untuk mencapai persefahaman bersama,” tambahnya.

Last modified on Wednesday, 10 October 2018
DMC Firewall is a Joomla Security extension!