wrapper

Berita Terkini

الإثنين 8 ذو الحجّة 1439   |   Monday August 20 2018


SHAH ALAM - Berikutan persoalan masa depan Islam yang hangat diperbincangkan selepas kerajaan Pakatan Harapan mengambil alih pentadbiran negara, Penasihat Umum Parti Amanah Negara (Amanah), Ustaz Ahmad Awang membayangkan ia sebagai persepsi yang sengaja dimainkan oleh sesetengah pihak.

“Persepsi ini timbul sama ada masa depan Islam di negara kita ini cerah, terang ataupun gelap, ia bergantung kepada kita sendiri umat Islam,” katanya semasa forum "Masa Depan Islam di Bawah Kerajaan Pakatan Harapan" anjuran Biro Penyelidikan IKRAM.

“Jika benar, kita orang Islam boleh bersepakat untuk Islam, tak kira apa parti, itulah yang sepatutnya.”

”Tapi kita sejak merdeka dulu, kerana ada parti ini, memang menjadikan umat Islam berpecah,” katanya dipercayai merujuk kepada parti yang pernah dianggotainya dulu.

Pada masa yang sama, beliau menempelak usaha-usaha individu yang memakai gelaran agama dengan memboikot sesiapa yang tidak sealiran.

Beliau berkata, perbuatan memboikot pusat dakwah pihak lain yang tidak sealiran dalam politik adalah tindakan yang bercanggah dengan amalan Islam.

“Masjid-masjid yang sebahagian mereka menguasainya, orang-orang tak sefahaman dengan mereka, disingkirkan dan tak dibenarkan masuk.”

“Jadi, maksud saya mereka yang kata Islam ini tidak ada masa depan adalah kerana kekecewaan kalah dalam pilihanraya. Itu terus terang.”

”Ustaz-ustaz yang bercakap dosa pahala, azab kubur tetapi dalam doa fikir laknat sesama sahabat sesama seagama.”

“Dalam doa, mereka kutuk. Jadi, saya nak kata jauh kita daripada apa Islam yang sebenar,” tambahnya.

Walau bagaimanapun, Pengarah Pusat Penyelidikan PAS, Dr. Zuhdi Marzuki berkata, pendirian sesuatu parti itu tidak boleh dilihat berdasarkan suara akar umbi semata-mata.

“Kita lihat polisi, dasar dan amalan yang datang daripada pucuk pimpinan,” katanya.

Oleh itu, beliau berpendapat, menjadi tanggungjawab kepimpinan parti dan NGO untuk mendidik ahli ke arah politik yang matang.

“Ahli-ahli parti bergaduh bagai nak rak tetapi pimpinan parti duduk semeja makan di parlimen,” ujarnya.

“Memang menjadi tanggungjawab kepimpinan parti dan NGO, bukan hanya PAS, UMNO, Pakatan Harapan malah semua sekali,” tambahnya.

Sementara itu, pakar perlembagaan yang juga Exco Kerajaan Negeri Perak, YB Dr. Abdul Aziz Bari berkata, persoalan masa depan Islam harus dilihat dalam konteks yang lebih besar.

“Bukan hanya Islam itu dilihat dalam konteks hudud atau pendidikan Islam tetapi dalam konteks rakyat telah diperkasakan seperti contoh NGO diberikan ruang yang lebih baik melalui pemansuhan undang-undang,” katanya.

Beliau membayangkan masa depan Islam mungkin berada pada peringkat lebih baik di bawah pentadbiran kerajaan Pakatan Harapan walaupun berdepan beberapa isu.

”Masa depan ini mungkin lebih baik walaupun kadang-kala timbul isu untuk menakut-nakutkan umat Islam.”

“Seperti contoh persoalan sama ada JAKIM akan kekal atau tidak. Sedangkan persoalan JAKIM ini telah pun bermula dan dibayangkan akan menjadi masalah pada peringkat awal sejak negara kita merdeka lagi,” jelasnya.

Sementara itu, Ketua Pergerakan Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki  berpandangan bahawa semua Ahli Parlimen Muslim perlu bersepakat dan bersatu padu sekiranya ia membabitkan soal perkembangan agama itu di negara ini.

Menurut Asyraf, bajet yang besar disalurkan kepada JAKIM sebelum ini tidak boleh dipersoalkan kerana sebahagian besarnya digunakan bagi membayar elaun dan gaji guru-guru KAFA, imam serta guru agama di setiap negeri.

Kata beliau, bajet untuk JAKIM diharap tidak dikurangkan untuk memperkasakan Islam di negara ini, malahan beberapa aspek perlu ditambah baik pada masa depan.

Beliau berpendapat, masa depan Islam bergantung sepenuhnya kepada umat Islam itu sendiri, termasuk juga pemimpinnya.

“Dan sebab itu, semua Ahli Parlimen tidak kira daripada pembangkang mahu pun kerajaan perlu bersepakat apabila ia membabitkan soal agama Islam,” jelasnya dalam forum yang telah berlangsung pada Sabtu, 21 Julai lalu di The Space, Space U8 di sini.

Kredit sumber & foto: Harian Metro

Last modified on Friday, 03 August 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!