wrapper

Berita Terkini

الخميس 7 صفر 1440   |   Thursday October 18 2018


SHAH ALAM - Kesedaran dan peringatan kepada masyarakat berkenaan penderaan seksual kanak-kanak perlu diteruskan di samping membantu mencegah jenayah ini daripada membarah di Malaysia, kata wakil Biro Pembangunan dan Pembelaan Kanak-kanak Wanita IKRAM, Puan Umi Kelathun Abd Ghani.

Beliau telah menghadiri Taklimat Pencegahan Penderaan Seksual Kanak-kanak anjuran Institut Wanita Berdaya di Dewan MBSA, Jalan Sungai Kandis pada 14 Julai lalu, di sini yang disampaikan oleh Cik Hafidzah Hj Abdul Halim daripada organisasi Protect & Save the Children.

“Agenda pertama taklimat pada hari tersebut dimulakan dengan pemberitahuan definisi kanak-kanak, prinsip-prinsip asas berkaitan kanak-kanak dan juga ketegori asas berkenaan hak-hak kanak-kanak,” kata Umi Kelathun.

Para peserta turut dimaklumkan berkenaan jenis-jenis dan definisi penderaan terhadap kanak-kanak berdasarkan akta yang terdapat di Malaysia.

“Antara aktanya ialah Akta Kanak-kanak 2001 (Pindaan 2016) dan juga Akta Kesalahan-kesalahan Jenayah Seksual terhadap Kanak-kanak 2017,” ujar Hafidzah.

Dalam pada itu, beliau telah menjelaskan tentang tiga jenis penderaan seksual terhadap kanak-kanak iaitu penderaan secara lisan, visual dan fizikal.

“Penderaan seksual bukan hanya rogol semata-mata, malah turut merangkumi pelbagai perlakuan seksual yang berbeza.”

Ketika statistik-statistik berkenaan penderaan seksual kanak-kanak di beberapa buah negara seperti Amerika, Filipina dan Kemboja dibacakan, para peserta menjadi tergamam mendengarkannya.

“Sebagai contoh, berdasarkan statistik di Amerika, terdapat 1 daripada 4 orang kanak-kanak perempuan, dan 1 daripada 6 orang kanak-kanak lelaki dicabul sebelum mencecah usia 18 tahun,” ujarnya.

Justeru, menurut Hafidzah statistik yang dinyatakan membuktikan bahawa penderaan seksual terhadap kanak-kanak tidak hanya berlaku ke atas kanak-kanak perempuan malah turut berlaku ke atas kanak-kanak lelaki.

“Tidak dinafikan, menurut rekod, penderaan seksual turut berlaku ke atas kanak-kanak kurang upaya (OKU) dan penderaan seksual kanak-kanak ini tidak hanya berlaku di barat tetapi turut berlaku di negara Asia termasuk Malaysia,” jelasnya.

Dalam perkembangan berkaitan, penceramah turut menyampaikan secara terperinci berkenaan proses pengantunan (grooming process) yang dilakukan oleh pesalah laku seks.

“(Iaitu) bagaimana individu berkuasa memperoleh kepercayaan kanak-kanak untuk menghilangkan sempadan peribadi, yang mana sempadan peribadi setiap individu adalah berbeza dan mendapatkan akses seksual.”

Penceramah turut menerangkan berkenaan dengan “Online Grooming” dan proses-proses yang terlibat serta video lakonan bagaimana berlakunya turut ditayangkan kepada peserta.

“Antara tanda-tanda penderaan seksual yang telah terjadi kepada kanak-kanak berumur di bawah 12 tahun adalah dengan membuat beberapa tingkah laku seksual tertentu seperti terlalu banyak beronani sehingga mengganggu waktu bermain, meniru tingkah laku seksual tertentu dan melukis bahagian seksual badan secara berterusan,” terangnya.

Peserta turut dijelaskan dengan taklimat prosedur yang boleh dilakukan bagi melaporkan penderaan seksual terhadap kanak-kanak iaitu melaporkan kepada pihak polis, Jabatan Kebajikan Masyarakat dan hospital.

“Penceramah juga turut menerangkan kompenan-kompenan pencegahan yang ditawarkan oleh organisasi Protect & Save the Children dan akhir sekali berkenaan peranan yang bakal setiap peserta lakukan selepas mendengar taklimat tersebut,” kata Umi Kelathun.

Ucapan penutup taklimat telah disempurnakan oleh Penasihat Institut Wanita Berdaya Selangor, YB Dr Daroyah Alwi.

Last modified on Wednesday, 18 July 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

    

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd