wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 14 جمادى الثانية 1440   |   Tuesday 19 February 2019

GOMBAK - Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Prof. Madya Dr. Zulfakar Ramlee berpandangan, Ketua Hakim Negara dipilih hasil perbincangan oleh Majlis Raja-Raja yang berdasarkan perlembagaan negara.

Beliau memberi kenyataan tersebut berhubung pelantikan Ketua Hakim Negara, Tan Sri Richard Malanjum yang dilantik sebagai Ketua Hakim Negara yang baharu pada 11 Julai lalu menggantikan Tun Md Raus Sharif.

Beliau berkata, berpandukan Perkara 122B dalam perlembagaan negara, ia tidak mensyaratkan bahawa seseorang Ketua Hakim itu perlu beragama Islam.

“Maka di sana jelaslah bahawa bukan Islam boleh dilantik sebagai Ketua Hakim Negara kerana kita daripada awal lagi telah tidak mensyaratkan jawatan itu mestilah beragama Islam.”

“Hanya di mahkamah syariah, hakim mesti agama Islam. Untuk mahkamah sivil, hakim boleh terdiri daripada bukan Islam.”

“Jadi, dengan cara tersebut, dia mempunyai hak (sekiranya layak) mendapat jawatan paling tinggi sebagai Ketua Hakim Negara,” katanya ketika ditemui.

Beliau turut menjelaskan, keputusan bagi melantik jawatan tertinggi bagi institusi kehakiman tersebut telah dibincangkan oleh Majlis Raja-Raja.

“Yang paling penting untuk kita faham, pelantikan Ketua Hakim Negara telah dibuat oleh Yang di-Pertuan Agong atas nasihat Perdana Menteri.”

“Perdana Menteri akan menasihati Yang di-Pertuan Agong dan akan berunding dengan Majlis Raja-Raja.”

“Di sini menarik, kerana jika ada dua atau tiga orang yang layak, maka atas nasihat Perdana Menteri, Yang di-Pertuan Agong akan berunding dengan Majlis Raja-Raja yang kita tahu, tugas utama Majlis Raja-Raja adalah menjaga agama Islam”, tambahnya.

“Dan kalau Majlis Raja-Raja sudah bersidang, berbincang, jadi kita merasakan perkara positif dan negatif sudah diambil kira.”

Berikutan pelantikan tersebut, beberapa kumpulan masyarakat yang terdiri daripada parti politik dan NGO menzahirkan keresahan dan kebimbangan.

Kumpulan tersebut melihat ia sebagai bentuk lantikan yang bakal menekan dan menggugat kedudukan agama Islam.

Walau bagaimanapun Zulfakar berkata, kuasa menekan tidak timbul kerana tugas Ketua Hakim Negara hanya mentafsirkan undang-undang.

“Tugas badan kehakiman adalah mentafsir dan melaksanakan peruntukan undang-undang.”

“Parlimenlah tempat untuk kita pinda (perlembagaan) untuk mencantikkan apa yang ada.”

Oleh itu, beliau berkata, tidak semestinya orang bukan Islam akan menafikan hak (orang Islam) dari sudut undang-undang.

“Kita sudah ada banyak kes bahawa hakim bukan Islam tidak semestinya dalam penghakiman itu merugikan Islam.”

Dalam perkembangan berkaitan, Timbalan Presiden IKRAM, Haji Zaid Kamaruddin menganggap pelantikan tersebut  adalah wajar kerana mengikut merit dan bukan latar agama ataupun kaum.

”Kalau ingin dipertikaikan daripada sudut meritnya, yang mungkin boleh menggugat kerana isu-isu begitu, mungkin boleh ditimbulkan.”

“Ia tidak ada prasyarat yang memerlukan penganut mana-mana agama daripada kaum atau etnik,” tambahnya yang juga merupakan Pengerusi Gabungan Bertindak Malaysia (GBM).

”Kita perlu lihat kepada prestasinya. Kerana dalam bidang ini, ia perlu mengikuti undang-undang yang ada. Mungkin pandangan dan persepsi masing-masing itu boleh berbeza,” katanya.

Tan Sri Richard Malanjum merupakan etnik Kadazandusun yang pertama dilantik sebagai Hakim Besar Sabah dan Sarawak pada tahun 2006. Beliau juga graduan UITM dalam bidang undang-undang pada tahun 1976.

Video penjelasan Dr Zulfakar: https://bit.ly/2Nno3WS

Last modified on Tuesday, 17 July 2018

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

DMC Firewall is a Joomla Security extension!