Print this page

 

SERI KEMBANGAN - Kempen kesihatan Ibu Pejabat IKRAM, i-FIT 2018 membuka tirai untuk tahun kedua selepas disempurnakan perasmiannya pada 10 Julai lalu oleh Setiausaha Agung IKRAM, Haji Nahar Md Nor.

Kempen sehingga hujung tahun ini bakal sarat dengan aktiviti-aktiviti yang membina fizikal, mental, rohani dan intelektual secara seimbang untuk para kakitangan supaya kekal sihat dalam menguruskan perjuangan.

Dalam ucapan perasmian, Hj Nahar berkata, kempen ini pada tahun lalu mendapat maklum balas positif daripada para kakitangan Ibu Pejabat IKRAM.

“Alhamdulillah, hasil kempen i-FIT 2017, banyak kesan positif, harap kita dapat teruskan pada tahun ini,” jelasnya.

Apa yang penting, tambah beliau, kempen ini dapat memenuhi satu daripada sepuluh muwasofat tarbiah iaitu qawiyyul jismi (badan yang kuat).

  

Ceramah kesihatan dan ucapan perasmian

Menurut Pengarah i-FIT 2018, Noor Aiman Abdul Aziz, aktiviti-aktiviti sempena kempen ini disusun dengan rapi secara berkala bagi memastikan setiap kakitangan dapat mengamalkan gaya hidup dan pemakanan sihat.

“Aktiviti-aktiviti menarik sepanjang i-FIT 2018 ialah senam robik, ceramah kesihatan, Selasa tanpa lif, pek iftar puasa sunat, pertandingan ping pong, boling, derma darah dan larian hiking, bermula Julai hingga Disember,” kata beliau.

Selain itu, tambahnya, pemeriksaan BMI, tekanan darah dan peratus lemak badan turut dilaksanakan pada minggu lalu bagi mengenal pasti tahap kesihatan setiap staf Ibu Pejabat IKRAM.

“Insya-Allah, kita akan buat pemeriksaan secara bulanan supaya setiap staf cakna dengan tahap kesihatan masing-masing.”

Sebelum pelancaran, para staf disajikan dengan ceramah kesihatan oleh coach Sufian Sulaiman mengenai tip-tip senaman yang efektif terutamanya bagi mengurangkan berat badan untuk mereka yang mengalami obesiti.

Last modified on Thursday, 12 July 2018
DMC Firewall is a Joomla Security extension!