Print this page

SERI KEMBANGAN - Berikutan status McDonald’s Malaysia yang tidak lagi dimiliki oleh McDonald’s Corporation, Humanitarian Care Malaysia Berhad (MyCARE) telah menamatkan kempen boikot terhadap syarikat itu dalam satu kenyataan rasmi NGO kemanusiaan tersebut.

“Kempen boikot ke atas McDonald’s tidak wajar dilaksanakan di Malaysia kerana McDonald’s Malaysia tidak lagi menyumbang kepada Israel,” jelas Ketua Pegawai Eksekutif MyCARE, Hj Kamarul Zaman Shaharul Anwar.

Menurutnya, keputusan itu dibuat hasil pertemuan tertutup secara harmoni antara MyCARE dan pengurusan tertinggi McDonald’s Malaysia iaitu Gerbang Alaf Restaurant Sdn Bhd pada 23 Januari lalu berikutan penjualan syarikat itu di Malaysia dan Singapura kepada syarikat yang berpengkalan di Arab Saudi, Lionhorn PTE LTD, anak syarikat Reza Group.

“Kempen (boikot) di Malaysia tidak akan mengenai sasaran dan tidak mampu memberikan tekanan kepada McDonald’s Corporation untuk menghentikan sumbangannya kepada Israel,” kata beliau.

Tambah Kamarul Zaman, McDonald’s Malaysia tidak lagi boleh dipertanggungjawabkan ke atas apa-apa tindakan dan kegiatan McDonald’s Corporation kerana hubungan antara kedua-duanya kini terhad kepada pembayaran royalti sahaja melalui kaedah Lesen Pembangunan (Developmental License, DL).

“McDonald’s Malaysia tidak mempunyai sebarang kuasa untuk menentukan bagaimana wang royalti tersebut digunakan oleh McDonald’s Corporation,” jelasnya lagi.

Beliau berharap agar orang ramai tidak lagi menularkan semula kenyataan-kenyataan MyCARE atau mana-mana agensi atau individu di bawahnya berhubung kempen memboikot Mcdonald’s yang telah dianjurkan sebelum ini.

Last modified on Tuesday, 03 April 2018
Our website is protected by DMC Firewall!