Print this page

 

SERI KEMBANGAN - Persatuan Belia Harmoni Malaysia (HARMONI) menandatangani perjanjian persefahaman (MoU) kerjasama bersama Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Khidmat Masyarakat IKRAM (i-Bantu), Yayasan Bunga Raya dan Pioneer Global Training and Development bagi menjayakan HARMONI Mission 1.0 di Kemboja.

Misi kemanusiaan pertama HARMONI di peringkat global ini bakal berlangsung pada 17 hingga 24 Disember ini melibatkan penyertaan 17 orang sukarelawan mahasiswa dari seluruh negara.

Hadir dalam majlis tandatangan pada Sabtu lalu Pengerusi i-Bantu, Prof. Madya Hj. Ainullotfi Abdul Latif, Pengurus Nusantara Care (NICE), En. Abdul Hafidz Hashim mewakili MyCARE manakala Yayasan Bunga Raya diwakili Ahmad Rafiq Khairudin dan Pioneer Global Training and Development diwakili Ustaz Wan Subki Wan Salleh.

Turut hadir dalam majlis tersebut Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Mahasasiwa IKRAM, Hj. Amirasyid Densibali dan Presiden IKRAM Siswa, Ahmad Taqiyuddin Shahriman dan Pengarah HARMONI Mission 1.0, Muhammad Miqdam Mohd Rashid.

Menurut Miqdam, dengan sokongan beberapa badan dan pertubuhan tersebut, HARMONI Mission 1.0 telah berjaya mengumpulkan jumlah tajaan dan sumbangan sebanyak hampir RM37,000.

“Pihak HARMONI Mission mengucapkan ribuan terima kasih atas kepercayaan yang diberikan dan berharap kerjasama ini akan diteruskan pada siri-siri Harmoni Mission akan datang.”

Tambahnya, tiga fokus utama Harmoni Mission 1.0 ini adalah pembangunan belia dan siswa, pendidikan dan kesihatan serta penambahbaikan infrastuktur (fasiliti) dengan menyantuni semua lapisan masyarakat iaitu belia, warga emas dan juga kanak -kanak.

“Walau bagaimanapun, HARMONI Mission akan lebih berfokus kepada program pendidikan dan pembangunan belia dan siswa melebihi fokus-fokus yang lain menyedari pendidikan kepada masyarakat adalah sangat penting terutamanya kepada mereka.”

Jelasnya, ia bersesuaian dengan ahli-ahli misi ini yang terdiri daripada pelbagai latar belakang pendidikan seperti perubatan, sains dan teknologi, pengajian Islam dan lain-lain, besar harapan agar akan berlangsung perpindahan ilmu (transferring knowledge) selain daripada penyampaian sumbangan.

Miqdam turut mendedahkan kaji selidik yang dijalankan Malaysian Digest yang menunjukkan data mengejutkan di mana hampir 60% belia termasuk mahasiswa tidak terlibat dan tidak berminat dengan dunia kesukarelawanan.

Justeru, beliau menggesa belia dan mahasiswa terlibat aktif dalam kesukarelawanan kerana mereka mempunyai peranan penting dalam pembangunan masa hadapan negara dan dunia.

“Kami ingin mengajak semua belia dan mahasiswa di Malaysia untuk turut serta dalam program-program kesukarelawanan sama ada di dalam negara mahupun luar negara.”

Kata Miqdam, HARMONI Mission 1.0 masih lagi membuka peluang dan ruang kepada mana-mana individu, badan korporat, persatuan dan yayasan untuk menyumbang kepada projek ini sama ada wang ringgit, khidmat nasihat mahupun hubungan kerjasama.

Info lanjut mengenai misi ini boleh dilayari di FB HARMONI Mission.

Foto: Dari kiri Rafiq, Taqiyuddin, Abdul Hafidz, Miqdam, Hj. Amirasyid, PM Ainullotfi dan Ustaz Wan Subki. 

Last modified on Tuesday, 12 December 2017
DMC Firewall is developed by Dean Marshall Consultancy Ltd