wrapper

Berita Terkini

الجمعة 5 ربيع الأوّل 1439   |   Friday November 24 2017

 

SERI KEMBANGAN – Berikutan terdapat cadangan pihak tertentu untuk mengembalikan semula kebenaran penjualan rokok yang kurang daripada 20 batang sekotak di Malaysia, Persatuan Kesihatan IKRAM Malaysia (IKRAM Health) bangkit membantah sekeras-kerasnya cadangan tersebut.

“Ia tidak selari dengan Artikel 16 WHO Framework Convention On Tobacco Control (WHO FCTC) yang ditandatangani Malaysia dan ia juga bertentangan dengan Akta Makanan 1983 dan Peraturan-Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 yang telah diluluskan oleh kerajaan,” tegas Setiausaha Kehormat IKRAM Health, Dr Mohd Afiq Mohd Nor dalam kenyataan media yang dikeluarkan persatuannya.

Tambahnya lagi, akta tersebut hanya dapat dilaksanakan sepenuhnya oleh kerajaan pada tahun 2006 apabila berjaya menguatkuasakan larangan penjualan 14 batang rokok sekotak setelah bertarung dengan bantahan-bantahan pihak tertentu.

“Kami ingin menyatakan kerisauan terhadap nama negara Malaysia yang akan terjejas pada pandangan negara-negara Asia Tenggara yang lain dan dunia secara umumnya kerana mengambil langkah ke belakang dalam inisiatif kawalan tembakau dan bebas asap rokok ini.”

Menurut beliau yang juga Pengarah Operasi, Kempen Selangor Bebas Asap Rokok (SELBAR), usaha-usaha yang telah dijalankan oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) bersama-sama agensi-agensi di bawahnya dan dibantu oleh pelbagai NGO berkaitan untuk mematuhi saranan WHO FCTC dalam menjadikan Malaysia sebagai salah sebuah negara yang bebas daripada asap rokok selama ini akan gagal jika langkah membenarkan penjualan ‘kiddie pack’ ini dikembalikan.

“Terdapat kajian menunjukkan bahawa penjualan rokok jenis ‘kiddie pack’ ini akan lebih menarik golongan belia dan remaja untuk merokok kerana faktor harganya yang lebih murah, pakej bungkusan yang lebih menarik dan unik serta ia lebih mudah untuk dibawa,” jelas beliau yang turut mengemukakan bukti kajian.

Selain itu, kajian menunjukkan ia merupakan strategi syarikat tembakau itu sendiri untuk menawan hati golongan muda yang kini semakin tawar hati kerana harga rokok yang semakin mahal.

“Peningkatan jualan rokok ‘haram’ atau seludup di pasaran bukanlah alasan besar untuk mengurangkan bilangan batang rokok sekotak tetapi sepatutnya banyak langkah lain yang mesti diperkasakan dan diperkenalkan untuk mengatasi masalah ini,” tegasnya.

Malah langkah pengenalan penjualan rokok ‘kiddie pack' ini hanya lebih ke arah untuk membanteras pembelian rokok haram semata-mata dan bukannya kepada tabiat merokok itu sendiri.

“Kami ingin mencadangkan agar kerajaan mengetatkan undang-undang dan meningkatkan hukuman serta memperkasakan lagi penguatkuasaan dalam usaha membanteras penyeludupan rokok haram ini.”

Dalam pada itu, beliau turut mencadangkan agar kerajaan memberikan kuasa (empower) kepada komuniti setempat untuk melaporkan terus secara dalam talian jika mereka mengesyaki aktiviti-aktiviti penjualan rokok haram ini.

“IKRAM Health menggesa kerajaan agar bersikap tegas dan tetap dengan akta kawalan tembakau yang sedia ada serta tidak mudah termakan dengan lobi pihak-pihak tertentu untuk memperkenalkan semula ‘kiddie pack' ini.”

Mohd Afiq berkata langkah ini sepatutnya disokong seratus peratus oleh semua pihak kerana cara ini bukan sahaja dapat mengawal penjualan dengan lebih bersistem malah membantu dalam membanteras penjualan rokok-rokok seludup ini dengan lebih berkesan.

“Hanya mereka yang berlesen sahaja sepatutnya boleh menjual rokok dengan syarat-syarat tertentu yang dipatuhi seperti tidak menjual secara terbuka di kaunter dan mengasingkan meja makan untuk perokok ke satu sudut lain.”

Tambahnya lagi, jika mereka tidak dapat mematuhi syarat-syarat tersebut, dicadangkan agar rokok ini hanya boleh dijual di ‘Kedai Rokok’ sahaja, bukan lagi di restoran-restoran dan kedai kopi kerana premis-premis ini sepatutnya menjadi tempat untuk makan yang selesa bagi seisi sekeluarga, bukannya tempat terancamnya kesihatan kerana terpaksa menyedut asap rokok.

IKRAM Health menyeru agar semua pihak turut sama membantah penjualan semula ‘kiddie pack’ ini ke dalam pasaran Malaysia. Bantahan ini penting untuk kita menyelamatkan generasi anak-anak muda kita daripada sekali lagi terjajah dengan tabiat merokok. 

Last modified on Wednesday, 06 September 2017

Leave a comment

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!