wrapper

Berita Terkini

الإثنين 1 ربيع الأوّل 1439   |   Monday November 20 2017

SERI KEMBANGAN - Berikutan video yang tular seorang ustaz berkenaan keadaan terkini tentang Masjid al-Aqsa, Ahli Lembaga Pemegang Amanah Aqsa Syarif dan Humanitarian Care Malaysia (MyCARE), Ar. Hj. Syed Mohd Radhi Syed Sakkaf memberikan responsnya hari ini berkaitan perkara tersebut.

“Sewajarnya penceramah meneliti sumber-sumber media yang ada sebelum dijadikan bahan ceramah. Yang mewar-warkan kekacauan yang sedang berlaku di Masjid al-Aqsa umumnya bukanlah media yang sentiasa dikaitkan dengan Yahudi seperti CNN, Reuters dan sebagainya,” kata beliau.

Bahkan jelasnya, media-media ini amat sedikit atau hampir tiada langsung menyentuh tentang apa yang sedang berlaku di Masjid al-Aqsa hari ini.

“Seolah-olah mereka cuba menyembunyikannya bukan mewar-warkan seperti yang dikata. Tengoklah sendiri sumber tersebut sebelum dibawa cerita,” jelas beliau ketika mengulas kata-kata ‘penceramah’ berkaitan kemasukan ke Masjid al-Aqsa ini adalah propaganda Yahudi.

Menurutnya, jika Israel benar-benar tidak mahu orang Islam datang ke Masjid al-Aqsa, mereka mempunyai cara yang jauh lebih mudah dan berkesan daripada propaganda.

“Iaitu bila-bila masa sahaja Israel boleh menyekat orang Islam daripada memasuki sempadan Jordan ke Baitul Maqdis. Bukankah pelancong kita mesti melalui sempadan yang dikawal Israel sepertimana mereka menyekat orang dari keluar-masuk ke Gaza? Mereka tidak perlu ‘berpropaganda’.”

Dalam pada itu, beliau menerangkan, yang banyak menyebarkan berita apa yang berlaku di al-Aqsa adalah media alternatif seperti Al-Jazerra, al-Arabiya, Palestine News Network dan Palestine Chronicle.

“Bahkan yang paling banyak menyebarkan berita, gambar dan video kejadian di Masjid al-Aqsa adalah ‘media tidak rasmi’ terus dari lapangan, rakaman peribadi rakyat Palestin yang berada di barisan hadapan dan menular melalui media sosial Facebook, Twitter, Whatsapp dan sepertinya,” jelas Syed Mohd Radhi.

Beliau mengakui hakikatnya, pihak Israel bukan menyekat, bahkan sememangnya Israel sangat menggalakkan pelancong-pelancong datang sebagai sumber ekonomi dan secara tidak langsung sekali gus mengiktiraf bahawa Israel yang menguasai Masjid al-Aqsa.

“ ‘Religious Tourism’ adalah sebahagian daripada agenda pelancongan Israel sebagaimana dinyatakan dalam satu petikan berita oleh Reuters pada 19 Jun 2012 melaporkan jurucakap Kementerian Luar Israel berkata: “Kedatangan penganut semua agama adalah dialu-alukan. Jika orang Islam ingin datang dan menziarahi tempat suci mereka, itu sangat hebat dan mereka patut berbuat demikian”.”

Menafikan keseriusan apa yang sedang berlaku dengan cara mudah menyalahkan propaganda yahudi tegas Syed Mohd Radhi, seolah-olah mereka mengkhianati perjuangan rakyat Palestin.

“Pasport Malaysia jelas tidak membenarkan kita memasuki Israel. Tetapi menjadi rahsia terbuka (open secret) hari ini siapa saja boleh pergi dengan pelbagai agensi pelancongan yang menawarkan pakej ke sana. Kenapa tentera Israel masih membenarkan pelancong-pelancong Malaysia masuk bahkan mereka siap memberi kerjasama untuk tidak ‘mengecop’ di atas pasport kita?”

Tambahnya lagi, ini kerana sememangnya mereka mahu kita datang. Cuma syaratnya satu, datanglah sebagai pelancong yang mengikut syarat dan peraturan yang ditentukan Israel dan jangan sekali-kali cuba mempertikai penjajahan mereka ke atas Baitul Maqdis dan Palestin.

“Itulah yang dilakukan oleh pelancong Malaysia dengan penuh sopan. Kalau nak test, cubalah angkat sepanduk sokong Palestin? Baru tahu siapa yang berkuasa di sana.”

Beliau berkata, dua hari selepas penutupan penuh Masjid al-Aqsa, Israel membenarkan jemaah masuk dengan syarat mesti melalui pemeriksaan tentera dan 'metal detector'.

“Para Imam Masjid al-Aqsa dan rakyat Palestin menolak syarat ini kerana ia bererti menerima penguasaan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa. Masjid al-Aqsa adalah hak mereka dan semua umat Islam, apa hak Yahudi untuk memeriksa mereka?”

Mereka lebih rela bersembahyang di luar pintu masuk. Dua kali solat Jumaat dan hampir dua minggu solat fardu tidak dikerjakan di dalam Masjid al-Aqsa oleh majoriti penduduk Palestin demi mempertahankan pendirian ini.

“Pada masa yang sama tanpa rasa bersalah kita memasuki pelbagai pemeriksaan Israel dan menerima pelbagai syarat mereka, dari sempadan hingga ke Masjid al-Aqsa. Ada pihak yang menjual nama-nama Imam Masjid al-Aqsa sebagai mengajak umat Islam ke sana, tetapi ironinya apabila imam-imam ini sendiri menolak untuk masuk akibat sekatan Israel, kita pula dengan selambanya masuk, meredhai penguasaan Yahudi ke atas Masjid al-Aqsa.”

Dalam penjelasan sebanyak 23 poin tersebut, Syed Mohd Radhi menegaskan:

“Sewajarnya seorang agamawan hendaklah mengambil sumber yang diyakini, bukan yang tidak diselidiki hujung asalnya. Jika agamawan pun menyebar berita yang tidak sahih, maka tidak hairanlah rakyat marhaen lebih teruk.”

Beliau turut mengingatkan, tidak pergi ke Masjid al-Aqsa tidak bereti kita tidak boleh membantu mereka.

“Pelbagai projek bantuan dibuat oleh pelbagai NGO Malaysia di Baitul Maqdis yang anda boleh sertai dan menyumbang,” jelasnya.

Kenyataan penuh: http://bit.ly/2v4AGA5
Tabung Projek #SaveAlAqsa: https://www.billplz.com/savealaqsa

Last modified on Saturday, 29 July 2017

Leave a comment

Iklan Penaja

  

 

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!