wrapper

Berita Terkini

الأربعاء 23 ذو القعدة 1438   |   Wednesday August 16 2017

 

KOTA KINABALU - Meskipun menerima pelbagai reaksi, Sambutan Tadau Kaamatan atau Pesta Kaamatan berlandaskan syarak di empat kawasan di Sabah telah berlangsung dengan harmoni dan akan diteruskan buat julung kalinya di peringkat negeri di Pesta Budaya Kundasang pada 20-21 Mei ini. 

Menurut Pengerusi Protem Pertubuhan Momogun Muslim Se-Malaysia, Hj Nicholas Sylvester, majlis ini bertujuan untuk meraikan suku kaum Momogun Muslim menyambut perayaan kebudayaan mereka mengikut garis panduan agama mereka.

"Di negara ini sudah terdapat ratusan ribu penduduk Kadazan, Dusun, Murut, Rungus, Sungai, Idaan, Lundayeh dan lain-lain suku kaum tempatan, singkatannya 'Momogun' yang beragama Islam.

"Mereka juga mahu merayakan sambutan pesta kaamatan sebagai sambutan perayaan kebudayaan mereka secara yang dibenarkan oleh garis panduan agama mereka," katanya.

    

Nicholas turut menjelaskan lima objektif penganjuran Majlis Tadau Kaamatan iaitu:

1. Menyambut Tadau Kaamatan 2017 secara harmoni dan inklusif bersama semua komuniti.

2. Membina dan memperkenalkan identiti dan kebudayaan masyarakat Momogun Muslim Malaysia yang 'shariah compliant' (patuh syariah).

3. Membina hubungan harmoni dengan semua etnik dan penganut pelbagai agama di Malaysia amnya dan di Sabah khususnya.

4. Menzahirkan rasa kesyukuran kepada Allah yang Maha Esa atas kurniaan rezeki-Nya dalam keberhasilan penuaian padi dan juga pelbagai usaha yang produktif seperti berladang, berindustri, berniaga dan segala usaha lain sesuai dengan peredaran zaman.

5. Mengetengahkan agenda membina jati diri dan budaya yang positif, progresif dan produktif dalam kalangan Momogun Muslim khasnya dan masyarakat awam amnya.

"Tidak ada niat dan tujuan lain yang tidak baik daripada penganjuran ini," tambahnya.

Jelas Nicholas lagi, Pertubuhan Momogun Muslim Se-Malaysia telah mengambil langkah mendapatkan kepastian dan garis panduan sambutan daripada Sahibus Samahah Datuk Bungsu Aziz, Mufti kerajaan negeri Sabah.

"Sahibus Samahah telah bersama menjayakan sambutan kaamatan secara patuh syariah ini sejak ia mula dilaksanakan beberapa tahun yang lalu lagi".

Pada tahun ini, pesta kaamatan ini telah berlangsung dengan harmoni di Pulau Penampang dan Keningau pada 13 Mei, Tamparuli pada 14 Mei dan di Kudat pada 16 Mei lalu.

  

Ujar Nicholas yang juga Pengerusi Hidayah Centre Foundation (HCF), pihaknya bersedia menjawab sebarang persoalan anda dan bersedia berdialog dengan semua pihak yang berkepentingan dalam isu ini demi keharmonian dan integrasi nasional.

Pihak penganjur juga sedang berusaha untuk memastikan sambutan ini akan disertai pengunjung daripada pelbagai latar belakang dan akan berjaya menarik ramai pelancong dari dalam dan luar negeri.

"Kami telah berjaya setakat ni untuk menarik minat ramai pelancong dari luar negeri Sabah untuk menyertai majlis sambutan yang akan diadakan 20-21 Mei ini di Kundasang".

Selain daripada suasana perayaan yang diwujudkan, persembahan, pertandingan, makanan tempatan percuma dan muzik tradisi kebudayaan, pihak penganjur turut mengadakan pemberian anugerah Tokoh Pemikir Momogun, Tokoh Usahawan Momogun, Tokoh Pekerja Produktif Momogun dan Organisasi Contoh Momogun bagi memeriahkan lagi sambutan.

Dengan sambutan yang bersifat inklusif, beliau mengalu-alukan kehadiran semua komuniti, tidak mengira apa pun latar belakang kaum dan agama ke Tadau Kaamatan Kundasang 2017 di Pentas Budaya Kundasang pada Sabtu dan Ahad ini.

"Jangan rasa asing, macam yang orang Sabah biasa katakan, kita-kita juga bah ini".

Lagi info: HCF Sabah

Last modified on Friday, 19 May 2017

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!