wrapper

Berita Terkini

الإثنين 1 شوّال 1438   |   Monday June 26 2017

“Dan tiadalah Kami mengutuskan engkau (Wahai Muhammad) melainkan untuk menjadi rahmat bagi sekalian alam.” (Surah al-Anbiyaa’: 107)

Umum mengetahui bahawa tarikh yang diterima umum bagi Hari Keputeraan Baginda Rasulullah SAW adalah pada 12 Rabiulawal. Pada setiap tahun, pasti rakyat Malaysia menyambutnya dengan penuh kerinduan dan kecintaan kepada Baginda Rasulullah SAW dengan pelbagai tema dan pada tahun ini bertemakan “Ukhuwah Islamiah Asas Penyatuan Ummah”.

Kita sudah sedia maklum bahawa perutusan Rasulullah SAW adalah sebagai pembawa rahmah kepada sekalian alam.

Tetapi persoalannya, sejauh manakah kita memahami bagaimana prinsip rahmah itu dibawa oleh Rasulullah dan apakah ertinya untuk pelbagai penganut agama di Malaysia?

Persoalannya juga, mengapakah sambutan ini masih eksklusif berlegar dalam kalangan masyarakat Islam, padahal Rasulullah SAW adalah pembawa rahmah untuk umat keseluruhannya tidak kira agama, bangsa dan negara? Dan bagaimanakah Maulidur Rasul menjadi sebuah hari yang mendidik keharmonian hubungan etnik dan penganut agama di Malaysia?

Sambutan Maulidur Rasul yang lebih inklusif

Saya tertarik apa yang dikupas oleh Dr Maszlee Malik dalam bukunya “Risalah Pemuda Muslim” dalam Bab 24 muka surat 139 bertajuk “Nilai Sejarah dan Maulid”. Beliau mengupas:

“Antara isu yang menjadi polemik ialah isu ‘maulid al-Rasul’. Setiap kali kedatangan ‘maulid’, kini sudah mula polemik tentang bidaah atau tidaknya sambutan tersebut. Ada yang mempertahankan, mereka dengan mudah menuduh lawan mereka sebagai golongan yang tidak mencintai Nabi, menghina Nabi dan musuh islam. Dan ada yang menentang pula melemparkan dakwaan lawannya itu mengikuti jejak Nasrani (Kristian) dalam mendewakan Nabi, menderhakai Nabi kerana Nabi tidak pernah menganjurkan sambutan sedemikian rupa.”

“Jika diteliti punca pertelingkahan tersebut ialah berpunca daripada apabila mereka menganggap isu maulid itu sebagai sambutan ‘ritual-spiritual’ atau sesuatu yang bersifat diniyy (keagamaan). Bagi yang menyambut, upacara tersebut merupakan kewajipan, seumpama wajibnya menyambut Aidiladha setahun sekali. Bagi yang tidak merayakan, mereka seakan-akan berdosa dan tidak mencintai Nabi. Bagi yang menentang pula, mereka melihat, perayaan keagamaan yang dianjurkan berdasarkan dalil hanya dua iaitu Aidilfitri dan Aidiladha.”

“Ternyata ada jalan keluar untuk isu ini yang mana perayaan atau sambutan maulid perlu dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual yang ditanggapi selama ini. Perayaan itu harus dilihat melalui kaca mata sebagai satu tarikh bersejarah untuk dikenang dan dijadikan iktibar serta pengajaran. Pemuliharaan unsur-unsur sejarah amat penting, termasuklah perayaan dan peringataan tarikh-tarikh tersebut.”

“Apakah yang akan dimanfaatkan oleh umat Islam jika perayaan maulid ini dikeluarkan daripada kerangka ritual-spiritual kepada kerangka sejarah-budaya?

Tentunya banyak sekali manfaatnya malah ia jauh lebih bermakna daripada mengadakan perarakan yang tidak tahu apa kesannya. Usaha mempromosi ajaran Nabi Muhammad SAW yang bersikap universal dan kemanusiaan perlu ditonjolkan. Keperibadiannya yang hebat, pemimpin yang agung, peniaga yang berjaya, suami yang ideal, bapa yang mithali, guru yang berdedikasi, pendidik yang menyantuni, pahlawan perang yang berjaya dan pelbagai ciri kemanusiaan Baginda yang boleh diteladani.”

“Dan usaha memperingati Nabi Muhammad SAW sepatutnya tidak berlegar-legar dalam kalangan umat islam semata-mata, malah sepatutnya dijadikan maklumat untuk dikongsikan bersama dengan mereka yang bukan islam. Perayaan berunsur sejarah-budaya ini sepatutnya dijadikan inklusif dan bukan eksklusif untuk orang islam semata-mata. Ajaran Nabi Muhammad SAW yang mementingkan pemeliharaan nyawa, agama, intelektual, harta dan maruah perlu ditonjolkan sebagai ajaran yang mengutamakan “kesempurnaan hidup manusia”.”

Dalam penutup bab ini, Dr Maszlee Malik membuat kesimpulan bahawa sudah tiba masanya Islam dalam bentuk yang lebih komprehensif dan syumul dikeluarkan daripada kesempitan dogma dan acuan golongan jumud yang berkepentingan. Islam sebagai Rahmatan Lil Alamin (rahmat sekalian alam) perlu dijadikan inklusif kepada semua pihak, termasuk kepada mereka yang bukan Islam dan bukan untuk umat Islam semata-mata.

Teladan daripada kebijaksanaan dakwah Rasulullah

Perutusan Rasulullah sebagai ‘Rahmatan Lil Alamin’ dapat dimanfaatkan oleh rakyat Malaysia keseluruhannya melalui teladan yang ditunjukkan oleh Rasulullah melalui kebijaksanaannya dalam pengurusan dakwah. Sepertimana yang kita ketahui bahawa dakwah Rasulullah terbahagi kepada dua peringkat, pertama ialah 13 tahun di Mekah dan kedua adalah selama 10 tahun di Madinah. Kedua-dua peringkat ini dilalui oleh Rasulullah dengan pelbagai pengurusan yang efektif dan strategi yang sangat bijaksana.

Dalam buku “Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah” karya Ustaz Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi, menekankan lima aspek kekuatan dan kunci efektif dakwah Rasulullah, iaitu:

1. Disiplin pengurusan wahyu
2. Bijaksana dalam memberikan teladan
3. Bijaksana dalam komunikasi
4. Bijaksana dalam mendekatkan diri dengan pengikut
5. Bijaksana dalam pengkaderan dan perwakilan yang terpilih dan tepat.

Ini menunjukkan bahawa Rasulullah harus menjadi teladan kita dalam menyebarkan dakwah. Maulidur Rasul seharusnya menjadi medan untuk kita suburkan dakwah dalam kalangan bukan Islam supaya masyarakat bukan Islam juga dapat menjiwai dan merasai Maulidur Rasul kerana Rasulullah adalah model untuk semua, bukan sahaja golongan Muslim. Sebagai contoh, menganjurkan ‘street dakwah’, ‘open masjid’ kepada non-Muslim, menyebarkan risalah-risalah tentang kehebatan Rasulullah dan sebagainya.

Seterusnya, Muslim perlu mengamalkan sunnah Rasulullah SAW dengan bermuamalah dengan masyarakat bukan Islam dengan baik. Sebagai contoh, memberi hadiah kepada bukan Islam sempena Maulidur Rasul, bermanis wajah dan berkongsi kepada rakan non-Muslim bahawa hari tersebut adalah hari kelahiran junjungan mulia.

Di samping itu, media juga perlu berperanan untuk menyebarkan info dan maklumat tentang baginda Rasulullah SAW kepada masyarakat bukan Islam. Sebagai contoh, membuat dokumentari tentang akhlak Nabi, kedepankan komen-komen tokoh bukan Islam terhadap keunggulan peribadi Nabi dan sebagainya.

Dalam buku “Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah” penulis juga menyebut bahawa Micheal H. Hart dalam bukunya “The 100: A Ranking of the Most Influential Persons in History” mengulas mengenai Nabi Muhammad SAW dan meletakkan Baginda sebagai individu paling berpengaruh dengan komennya yang berbunyi:

“My choice of Muhammad to lead the list of the world`s most influential persons may surprise some readers and may be questioned by others, but he was only man in history who was supremely successful on both the religious and secular levels. Of humble origins, Muhammad founded and promulgated one of the world`s great religions, and became immensely effective political leader. Today, thirteen centuries after his death, his influence is still powerful and pervasive.”

Ini menunjukkan bukti bahawa sarjana dan cendekiawan barat juga memuji dan menghargai kehadiran seorang insan agung dan ia wajar dimanfaatkan oleh orang Islam khususnya para agamawan untuk menggunakannya bagi menyakinkan masyarakat bukan Islam tentang keistimewaan Baginda dan ia bertepatan dengan mesej perutusan Rasulullah ke dunia ini sebagai rahmah kepada sekalian alam.

Rasulullah SAW ahli politik yang mithali

Kita juga perlu meneladani kebijaksanaan Rasulullah dalam pengurusan politik. Rasulullah adalah ahli politik terawal dalam sejarah Islam. Bermula dengan satu gerakan yang kecil kemudian Baginda mengambil keputusan untuk berhijrah ke Madinah untuk membentuk satu pemerintahan atau dikenali sebagai negara Islam pertama di Madinah. Selain itu, Rasulullah terlibat dengan perundingan, perjanjian dan sebagainya, dan Rasulullah menghadapi isu penentangan daripada kaum Yahudi, Nasrani dan Musyrikin. Semuanya dilalui oleh Rasulullah dengan amanah, qudwah (teladan) yang baik, berdedikasi dan menepati janji.

Ketika Rasulullah menjadi ketua negara Madinah pada ketika itu, Baginda mengamalkan tadbir urus yang baik dengan memberi hak kesamarataan sosial kepada semua masyarakat tidak kira Islam mahupun tidak dan ini adalah satu elemen yang penting yang perlu dimainkan oleh setiap darpadai pemimpin kita untuk merealisasikan keadilan yang mana ia adalah cabang daripada Maqasid Syariah dan ia perlu diletakkan sebagai asas dalam sistem pentadbiran negara.

Oleh itu, kita seharusnya menterjemahkan kecintaan kita kepada Nabi dengan memberikan impak yang positif dalam melahirkan insan dan masyarakat yang sesebuah negara yang bebas dari korupsi, penipuan, politik adu domba, tiada akauntabiliti dan menjana ketelusan dalam pentadbiran.

“Sungguh telah ada pada diri Rasulullah itu suri teladan yang baik bagimu iaitu bagi orang yang mengharapkan rahmat Allah dan kedatangan hari kiamat dan yang banyak mengingat Allah.” (Surah al-Ahzab: 21)

Salam Maulidur Rasul buat semua rakyat Malaysia!

Jadikan Rasulullah sebagai contoh dan teladan dalam segenap aspek kehidupan pengurusan, pentadbiran, perniagaan, dakwah, akhlak, politik, ketenteraan, keluarga dan sebagainya.

Inilah keunggulan keperibadian dan akhlak baginda, bagaimanakah pula peribadi dan akhlak kita? Sudahkah kita mencontohi baginda tanda kasih kita kepadanya?

Rujukan:
[1] Risalah Pemuda Muslim, Maszlee Malik
[2] Hebatnya Rasulullah: Teladani Peribadi dan Pengurusan Kekasih Allah, Ahmad Zahiruddin Mohd Zabidi

Nik Fatma Amirah Nik Muhamad
Biro Penyelidikan IKRAM

Last modified on Wednesday, 14 December 2016

Leave a comment

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-melinfo@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!