wrapper

Berita Terkini

الثلاثاء 14 ذو القعدة 1440   |   Wednesday 17 July 2019
Tuesday, 12 February 2019 14:23

Antara kebenaran, 'troll' dan hiruk-pikuk media sosial

Written by Mohammad Abdul Hamid
Rate this item
(0 votes)

Kehidupan hari ini tidak dapat lari daripada pengaruh media sosial, seolah-olah tidak sah hidup tanpa ditemaninya.

Malah, menjadi rutin masyarakat milenium ini untuk terus mendapatkan telefon pintar sejurus terjaga daripada tidur pada waktu pagi, semata-mata untuk menyemak perkembangan terkini.

Melalui media sosial, kita berhubung dengan teman atau saudara-mara, malah mereka yang tidak kita kenali sebelum ini. Kita berkongsi kehidupan seharian, berita serta maklumat dalam bentuk teks, gambar atau video. Media sosial juga menjadi medan berhibur dan mengisi masa lapang.

Selaras perkembangan pengaruh media sosial, ada yang mula berlumba-lumba menjadi orang pertama berkongsi maklumat atau berita terkini.

Namun, tidak semua maklumat di media sosial berstatus benar.

Tidak kurang juga menggunakan media sosial untuk menyebarkan maklumat palsu yang boleh membawa kepada pertelingkahan dan permusuhan.

Ada pula menggunakan troll untuk menyiarkan mesej dengan nada menyindir terhadap individu atau kumpulan. Suasana hangat apabila troll mendapat sambutan pengguna laman sosial, terutama melalui komen diberikan.

Mufti Wilayah Persekutuan, Dato' Seri Dr Zulkifli Mohamad al-Bakri baru-baru ini mengeluarkan hukum troll di media sosial. Menurut beliau, hukum asal menggunakan media sosial adalah harus jika tujuan dan kaedah penggunaannya tidak melanggar mana-mana hukum syarak.

Sebaliknya, jika digunakan dengan tujuan dan kaedah bertentangan hukum syarak seperti menjadikannya sebagai alat menyebarkan pendustaan, permusuhan dan perbalahan, maka hukumnya jatuh haram.

‘Troll’ menghina menyalahi syarak

Troll berunsur menghina, memperlekeh, menyindir, mengejek, menghasut, menyebarkan pendustaan, membangkitkan permusuhan, menyemai kebencian dan menjatuhkan maruah individu adalah perbuatan yang membawa ciri-ciri menyalahi syarak yang dilarang dan boleh membawa kepada dosa.

Justeru, penting untuk kita menjadi pengguna media sosial bertanggungjawab dengan memeriksa maklumat diperoleh, sebelum menyebar atau membuat kesimpulan.

Umpamanya, kita boleh memeriksa kesahihan sesuatu maklumat dengan merujuk sumber berita yang boleh dipercayai, seperti kenyataan atau portal rasmi dan lain-lain.

Pengguna media sosial bertanggungjawab dengan tindak tanduk di media sosial. Justeru, langkah tertentu mesti diambil untuk mengelak pertelingkahan atau perselisihan.

Ada maklumat benar, namun tidak semua boleh dipercayai. Pastikan maklumat yang ingin disebarkan diperiksa terlebih dahulu kesahihannya.

Lebih baik tidak berkongsi atau memberi komen kepada perkara yang tidak pasti kesahihannya. Perlu berhati-hati dalam menyebar maklumat diterima daripada media sosial dan tidak menjadi batu api yang mengeruhkan lagi keadaan.

Penting juga agar kita tidak menjadikan perbezaan pandangan mengenai sesuatu perkara sebagai sebab untuk menimbulkan permusuhan sesama insan, apatah lagi sesama Islam.

Dalam banyak keadaan, berdiam diri daripada memberi komen pada sesuatu troll mungkin tindakan lebih baik. Perkongsian daripada cybertrooper atau pemilik akaun media sosial yang tidak diketahui identiti sebenar jangan dilayan.

Tidak salah mengejar populariti, memperoleh mesej viral dan jumlah likes tinggi, namun janganlah sampai terjebak dalam perkara yang boleh membawa kepada dosa.

Penulis:
Mohamad Abdul Hamid
Yang Dipertua IKRAM Kawasan Bandar Tun Razak
Mahasiswa Sarjana Polisi Awam Universiti Malaya

Read 1971 times Last modified on Tuesday, 12 February 2019 17:37

Leave a comment

Make sure you enter all the required information, indicated by an asterisk (*). HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: [email protected]
Pentadbiran: [email protected]
Keahlian: [email protected]
Kewangan: [email protected]

Our website is protected by DMC Firewall!