wrapper

Berita Terkini

الخميس 28 المحرّم 1439   |   Thursday October 19 2017
Tuesday, 19 July 2016 00:00

‘Islam bentuk hidup kami lebih teratur’

Rate this item
(1 Vote)

PAGI yang cerah itu diselubungi bunyi ketukan dinding saat penulis tiba di pusat bimbingan golongan mualaf iaitu Hidayah Centre Foundation (HCF) yang terletak di Taman Melawati, Kuala Lumpur.

Rupa-rupanya bunyi bising itu datang dari pusat berkenaan yang sedang dibaik pulih untuk keselesaan pelajar mualaf dan kakitangannya. 

Sejurus menaiki tangga ke tingkat tiga, penulis disambut dengan wajah ayu daripada enam wanita berhijab yang ketika itu sedang melakukan tugas masing-masing.

“Assalamualaikum,” ujar wanita berwajah manis yang memakai tudung berwarna merah itu.

Tidak ada bezanya wanita itu dengan kebanyakan anak Melayu lain. Jika tidak dimaklumkan bahawa Rebecca Adlina Udas, 27, seorang wanita mualaf mungkin penulis tidak mengetahuinya.

Berkongsi cerita bersama Rebecca yang berasal dari Sipitang, Sabah itu, dia mula meminati Islam semasa berada di asrama Sekolah Menengah Kebangsaan Padang Berempah Sipitang, Sabah

“Di sekolah itu, saya mempunyai ramai kawan-kawan muslim jadi saya selalu terikut-ikut dengan cara mereka.

“Contohnya, jika mereka berpuasa tidak manis pula saya makan, jadi saya juga berpuasa bersama mereka,” kata anak kedua daripada lapan beradik itu.

Memiliki ramai kenalan yang beragama Islam merupakan titik tolak dalam hidupnya sehingga mendorongnya memeluk agama Islam.

“Saya ada bertanya sikit-sikit kepada mereka mengenai Islam tetapi selebihnya saya Google sendiri dan dalam pada saya mencari tempat untuk belajar, saya terjumpa dengan Hidayah Centre.

“Mula-mula saya sangka kena bayar untuk mengikuti kelas, rupanya percuma. Saya terus datang ke sini,” ujarnya yang memeluk agama Islam sehari sebelum Ramadan tahun lalu.

Bagi golongan mualaf yang masih muda, membuat keputusan memeluk Islam bukan perkara remeh. Ada antara mereka yang terpaksa merahsiakan identiti sebagai seorang Islam bagi menjaga perasaan ahli keluarga dan orang tersayang.

Ditanya mengenai reaksi keluarganya apabila dia menyuarakan hasrat untuk menukar agama, Rebecca memberitahu mereka menerimanya dengan hati terbuka.

“Selepas saya memeluk Islam baru saya maklumkan kepada keluarga, mereka pada mulanya terkejut namun selepas itu menerima dengan hati terbuka.

“Cuma ada mak cik dan pak cik sahaja yang tidak dapat menerima, kawan-kawan juga okay cuma ada segelintir yang tidak lagi mahu berkawan dengan saya. Mereka menyekat saya di Facebook,” jelasnya yang tidak kisah dengan hal itu kerana apa yang penting, ibu bapanya tidak menghalang.

Sejak itu, Rebecca mula mempelajari agama Islam dengan mengikuti kelas-kelas yang dianjurkan HCF. Di situ, terdapat kelas iqra, fardu ain, akidah, tauhid, akhlak, fiqh, al-Quran dan solat.

Disiplin

Kelas-kelas itu selalunya berlangsung pada siang hari atau pada hujung minggu bergantung kepada permintaan. Jika ada masa terluang, pada sebelah malam pula, Rebecca akan ke Masjid As-Syakirin di Gombak untuk belajar tentang Islam.

Jelas Rebbeca, selepas memeluk agama Islam, dia lebih berdisiplin.

“Islam membuatkan saya lebih teratur sebab kita kena solat lima waktu. Selain itu, berbudi bahasa dengan orang lebih tua seperti bila berjumpa kita kena salam.

“Itu yang saya praktikkan apabila pulang ke Sabah, sekarang ini ibu pula berasa pelik jika saya tidak salam sambil cium tangannya,” katanya yang merayakan Aidilfitri bersama keluarga angkat di Sungai Buloh, Selangor

Dalam pada itu, Pengurus Jabatan Pentadbiran HCF, Siti Hamisah Manan berkata, HCF ingin membantu mana-mana individu yang tidak tahu ke mana harus dituju untuk mempelajari atau mengetahui mengenai agama Islam.

“Kita ada kes seorang hamba Allah ini sudah sembilan tahun berpuasa dan mendalami agama Islam, cuma dia belum lafaz syahadah sahaja.

“Walaupun pada hakikatnya dia sudah dikira sebagai seorang Muslim tetapi dia perlu seseorang untuk membantunya mendalami Islam.

“Jadi di sinilah tugas kami. Kami akan membawanya mengikuti kelas-kelas agama, selepas dia bersedia dia boleh melafazkan syahadah di sini,” katanya sambil memaklumkan pusat itu sudah ditubuhkan sejak tahun 2005 oleh Pengerusinya, Nicholas Sylvester@Berry.

Bantu

Kini, HCF mempunyai lebih 22 pusat cawangan di seluruh Malaysia seperti di Selangor, Perak, Johor, Sabah dan Sarawak.

Tambahnya, selepas urusan lafaz, pihak HCF akan membantu golongan mualaf itu untuk menguruskan dokumentasi pendaftaran bersama Majlis Agama Islam Selangor.

“Kami tidak akan tinggalkan mereka begitu sahaja sebaliknya membimbing mereka dari mula hingga akhir.

“Jika mereka mahu terus belajar bersama kami, kami amat berbesar hati tetapi jika sebaliknya, semua itu terpulang kepada kehendak mereka,” jelasnya sambil memaklumkan pusat itu mempunyai 16 orang kakitangan.

Seorang lagi saudara mualaf, Aisha Tan Li Juan, 25, pula memberitahu, ibu bapanya menyuruh dia berpegang kepada ajaran agama yang satu. Katanya, ibunya tidak mahu dia bertukar-tukar agama.

“Ibu tidak kisah saya ingin memeluk Islam cuma katanya, kalau nak bertukar agama mestilah bersungguh-sungguh. Jangan nanti keluar agama semula dan masuk agama yang lama,” ujarnya yang berasal dari Ampang, Kuala Lumpur.

Anak sulung daripada tiga beradik itu turut memberitahu, ibu dan ayahnya yang mendorong Aisha untuk berkawan dengan pelbagai kaum serta agama. Atas dasar itu, dia memiliki ramai rakan Melayu yang beragama Islam.

Malah, rakan baiknya yang sudah dikenali sejak tujuh tahun lalu yang kini merupakan suaminya juga seorang yang beragama Islam.

Aisha memeluk agama Islam pada Mei tahun lalu sebelum berkahwin pada Disember tahun yang sama. Kini dia dan Rebecca merupakan kakitangan di Hidayah Centre.

Aisha yang baru pertama kali menyambut Aidilfitri sebagai saudara mualaf, pulang ke kampung suaminya di Kelantan.

“Saya teruja ingin beraya bersama keluarga mentua. Tidak sabar rasanya ingin melihat bagaimana orang Islam menyambut raya secara dekat,” jelasnya yang menggemari masakan ibu mentuanya.

Sementara itu, Koperasi Permodalan Mualaf Berhad telah ditubuhkan sebagai salah satu satu usaha bagi membantu mualaf meneruskan kelangsungan hidup, sekali gus memastikan kebajikan mereka terjamin.

Tiada pendapatan atau pekerjaan untuk menampung keperluan hidup merupakan antara faktor membuatkan golongan mualaf kembali kepada agama asal.

Ketua Pegawai Eksekutif Koperasi Pembiayaan Syariah Angkasa Berhad, Datuk Syed Ghazali Wafa Syed Adwan Wafa berkata, penubuhan koperasi itu dapat membantu golongan berkenaan mendapat pekerjaan selain berdikari untuk meneruskan kehidupan.

“Kita faham antara cabaran dihadapi golongan ini adalah tidak diterima keluarga dan menyebabkan mereka tidak ada tempat bergantung.

“Jadi kita bantu dengan memberikan pekerjaan atau berniaga menerusi koperasi ini,” katanya.

Dalam pada itu, selain golongan mualaf, mana-mana individu beragama Islam yang ingin mempelajari tentang ilmu agama boleh menghadiri kelas bimbingan HCF dengan menghubungi mana-mana cawangan HCF atau melayari www.hidayahcentre.com.

Sumber: Kosmo! Online | 19 Julai 2016 | http://bit.ly/29Q7kx7
Foto: KELAS-kelas agama yang dianjurkan HCF merangkumi kelas iqra, fardu ain, akidah, tauhid dan banyak lagi.

Read 2011 times Last modified on Tuesday, 19 July 2016 04:00

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

Our website is protected by DMC Firewall!