wrapper

Berita Terkini

الخميس 28 المحرّم 1439   |   Thursday October 19 2017
Friday, 01 April 2016 00:00

Kami inginkan masyarakat bertamadun, penuhi dunia dengan rahmat Islam

Rate this item
(0 votes)

Berikut adalah terjemahan berita daripada majalah Arab, al-Mujtama' bertarikh 12 Januari 2016 yang telah menemuramah Presiden IKRAM, Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad:

Dr Mohd Parid Sheikh Ahmad, Presiden Pertubuhan IKRAM Malaysia menyatakan bahawa rakyat Malaysia terdiri daripada masyarakat berbilang kaum, bangsa, dan agama. Mereka hidup di atas satu tanah yang sama atas dasar tolong-menolong dan saling bertolak ansur. Ini adalah hasil daripada kehidupan harmoni yang telah terbina antara mereka semenjak dahulu lagi. 

Demikianlah kata beliau dalam sesi temuramah bersama ketua editor al-Mujtama, Muhammad Salim ar-Rasyid. Beliau juga menyatakan bahawa Malaysia adalah sebuah negara bertamadun yang dicorakkan oleh undang-undang sivil yang digubal melalui parlimen pilihan rakyat, dan bilangan penduduk Malaysia mencapai 30 juta rakyat yang mana 62% daripadanya adalah beragama Islam.

Beliau turut menyatakan cabaran terbesar yang dihadapi oleh mereka selaku pertubuhan dakwah adalah percambahan rohani, pemikiran dan akhlak masyarakat itu sendiri, dan membina hubungan dengan masyarakat majmuk ini bersama dengan hubungannya yang kuat dengan pertubuhan-pertubuhan Islam yang lain.

Kami berhasrat untuk mengenali secara ringkas tentang jamaah kalian. Bagaimanakah ia diasaskan? Apakah identitinya? Dan apakah objektifnya?

Jamaah kami bernama Pertubuhan IKRAM Malaysia. Ia ditubuhkan pada tahun 2009. Adapun identitinya, ia adalah perkumpulan pendokong-pendokong dakwah Islamiah, mereka adalah generasi terpilih dalam kalangan graduan universiti, yang mempunyai kepakaran dalam bidang pengajian tinggi, dan pensyarah-pensyarah di universiti dalam bidang-bidang yang pelbagai. Adapun objektifnya yang paling utama adalah membina sebuah negara yang maju dan moden, yang mampu memimpin dunia dan mencurahkan ke atasnya dengan rahmat dan ajaran Islam.

Kami ingin mengetahui tentang suasana parti politik dan pertubuhan-pertubuhan Islam di Malaysia, dan apakah hubungan kamu dengannya?

Di Malaysia terdapat beberapa parti politik. Yang paling terkehadapan adalah; pakatan-pakatan parti yang memerintah, pakatan parti-parti pembangkang dan parti Islam. Adapun pakatan parti-parti memerintah, mereka terbina daripada 14 buah parti yang mewakili pelbagai jenis masyarakat yang berbeza di Malaysia.

Adapun pakatan parti pembangkang, mereka terbina daripada tiga buah parti; Parti Amanah Negara yang mewakili kelompok Islam, Parti Keadilan Rakyat yang mewakili berbilang jenis masyarakat di Malaysia, dan parti DAP (Democratic Action Party) ia adalah parti sekular liberal, yang sebahagian besarnya dianggotai oleh masyarakat Cina.

Adapun Parti Islam Se-Malaysia, mereka bersendirian dengan pendirian yang bebas, dan mereka mengambil posisi sebagai parti pembangkang, tetapi tidak terlibat dalam pakatan parti-parti pembangkang atas sebab-sebab yang tertentu.

Hubungan kami dengan parti-parti pembangkang baik-baik sahaja, khususnya Parti Amanah Negara dan Parti Keadilan Rakyat. Adapun Parti Islam Se-Malaysia, ia adalah hubungan yang lama, dan mereka sekarang berada dalam fasa yang baru selepas perubahan yang besar dalam barisan kepimpinannya dan penarikan diri daripada pakatan parti-parti pembangkang.

Adapun hubungan kami dengan Parti DAP, maka ia adalah hubungan dakwah atas dasar keterbukaan dan pembinaan hubungan. Dan bersama pakatan parti-parti memerintah, kami mempunyai hubungan yang baik, sentiasa memberi nasihat kepada mereka dan menggalakkan pembinaan politik yang matang dan bijaksana dalam segenap aspek negara dan masyarakat.

Bagaimana pula hubungan kamu dengan kerajaan? Adakah kamu menyertai pemerintahan atau parlimen?

Hubungan kami bersifat rasional. Adakalanya kami menyokong, dan adakalanya kami menentang. Bergantung kepada setiap isu yang dibawakan kepada negara dan rakyat. Dan bergantung juga kepada tindak tanduk mereka terhadap rakyat yang berbilang kaum ini. Kami tidak terlibat secara langsung dalam pemerintahan. Dan bagi kami, tidak ada masalah dengan persidangan parlimen. Ada beberapa orang anggota kami yang menjadi perwakilan di dalam parlimen.

Bagaimanakah kamu melihat suasana politik di negara sekarang, dengan mengambil pandang sisi sebagai salah satu daripada gerakan dakwah?

Kami sangat berasa bimbang dengan keadaan politik negara sekarang. Ia sekarang dilihat semakin merosot. Perjalanan politik negara, ekonominya, dan kemasyarakatannya memerlukan kepada pembaik pulihan secara meluas, berperingkat, dan progresif dengan diuruskan oleh individu yang amanah dan bertanggungjawab.

Negara Malaysia sangat memerlukan kepada politik yang matang, sistem pengundian yang bersih, telus dan adil, dan sistem parlimen dwi-parti yang seimbang dan kuat, sehingga ia mampu menghasilkan kata putus yang tegas, sekaligus mencerminkan kepimpinan yang adil.

Kami juga telah mengadakan beberapa aktiviti untuk meningkatkan kesedaran masyarakat dalam politik dan menggalakkan mereka supaya mengambil berat tentang keadaan semasa negara dan rakyat, dan mengangkat kedudukannya di tengah-tengah umat supaya meletakkan politik dalam kerangka agama kita, dan ia adalah bahagian yang tidak terpisah daripada agama Islam, bahkan ia adalah salah satu bahagian yang terpenting dalam agama ini.

Apakah program yang paling menonjol yang telah kalian sumbangkan kepada masyarakat sepanjang tahun-tahun yang lepas?

Pada tahun-tahun yang lepas, kami telah menyediakan kader-kader tenaga manusia yang ditarbiah serta terlatih daripada segenap generasi dan juga saf-saf para du'at dan pemimpin dan generasi pemuda yang dilatih untuk mengangkat martabat umat ini menjadi “sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia”.

Antara sumbangannya juga adalah Pertubuhan IKRAM ini sendiri selaku gerakan dakwah Islam yang menyeluruh, ia melaksanakan pelbagai projek secara berterusan untuk memenangkan isu-isu umat di dalam dan luar negara. Ditambah lagi dengan badan-badan yang diasaskan olehnya dalam pelbagai bidang seperti dakwah, ekonomi, perubatan, pendidikan, kemasyarakatan dan kebajikan di seluruh pelosok negara ini.

Adakah kalian menghadapi halangan-halangan dalam melaksanakan aktiviti jamaah? Adakah undang-undang di dalam negara membuka ruang kepada kalian untuk melaksanakan aktiviti secara terbuka?

Kami tidak menghadapi menghadapi sebarang halangan untuk melaksanakan aktiviti selaku badan bukan kerajaan (NGO), dan sekiranya didapati pun, ia adalah halangan-halangan biasa yang semestinya dilalui untuk melengkapkan diri kami selaku gerakan amal da’wi Islami. Tambahan pula, undang-undang di dalam negara sentiasa membuka ruang kepada kami untuk melaksanakan aktiviti secara terbuka, kerana Malaysia adalah negara bertamadun yang dicorakkan oleh undang-undang sivil yang digubal oleh parlimen.

Kita telah selesai berbicara mengenai suasana keagamaan di Malaysia lalu bagaimana pula hubungan kamu dengan pengamal agama yang lain?

Penduduk Malaysia kini mencapai bilangan 30 juta orang yang mana Muslim membentuk 62% daripadanya manakala Buddha dengan 19%, Kristian 9%, Hindu 6% dan lain-lain pula 4%. Hubungan kami dengan mereka sangat baik yang mana kami membentuk pelbagai jalinan menerusi perbincangangan yang membawa kepentingan tentang hal-hal kenegaraan, kerakyatan, keamanan sejagat kehidupan yang sejahtera serta saling mengunjungi.

Kami turut giat menjalankan aktiviti-aktiviti dakwah kepada mereka dengan cara memperkenalkan Islam serta mencapai kata sepakat yang memberi kebaikan terhadap pelbagai masalah yang dihadapi bersama.

Malaysia terdiri daripada variasi kumpulan etnik, bahasa dan agama yang berbeza-beza. Bangsa Melayu merupakan bangsa majoriti di negara ini dan merekalah yang mewar-warkan slogan 'Perpaduan dan Kepelbagaian'. Persoalannya, bagaimanakah kesemua bangsa ini menjalani kehidupan dalam keadaan kepelbagaian mereka yang sedemikan rupa? Dan apa pula pemerhatian kamu berdasarkan pengalaman 'Perpaduan dan Kepelbagaian' selama ini?

Rakyat Malaysia yang terdiri daripada pelbagai bangsa, bahasa dan agama hidup mengamalkan konsep toleransi, saling berlapang dada, dek kerana sudah terbiasa dengan kehidupan aman sentosa semenjak kecil sehingga semua orang tidak mengira peringkat umur merasakan perkara yang sama.

Melayu adalah bangsa utama di negara ini, semenjak Malaysia merdeka daripada penjajahan British merekalah yang memimpin negara ini sehingga ke hari ini. Mereka adalah bangsa yang penyayang dan cintakan kepada keharmonian dan kemamakmuran serta mengelakkan permusuhan kepada yang lain kecuali kepada keadaan permusuhan melampau terhadap mereka.

Boleh jadi perkara ini membuatkan mereka membalas permusuhan itu dengan cara yang kasar lagi ganas. Meskipun begitu, kejayaan Malaysia sehingga kini adalah disebabkan rakyatnya memberikan sokongan tidak berbelah bagi terhadap slogan 'Perpaduan dan Kepelbagaian' iaitu dengan cara mengekalkan kesatuan dan kesejahteraan tanah air sejagat.

Bagaimanakah pula penilaian kamu terhadap pengalaman kumpulan-kumpulan Islamis di negara-negara Asia Tenggara?

Kami melihatnya dari sudut pandang yang berbeza, ada antaranya pemerhatian yang membimbangkan dan ada pula pemerhatian yang berupa harapan. Maka banyak pemerhatian dan pandangan kami berbasiskan pengalaman politik Islamis di Indonesia sebagai satu pemerhatian yang menaruh sebuah harapan iaitu politik di sana telah melalui banyak perkembangan dan perubahan ke arah mencapai politik kematangan dan daya tahan dalam tahun-tahun kebelakangan ini. Oleh yang demikian Indonesia dan rakyatnya sendiri telah dipersiap dengan satu iklim politik yang sihat demi menggapai kemajuan dari segi politik masyarakat dan ekonomi.

Proses ini adalah tercapai melalui pengalaman lampau yang telah termulai sebelum merdeka lagi dan berterusan selepas itu. Ianya berlaku dalam keadaan yang beraneka rencam, silih bertukar ganti dan saling bersilang pangkah lalu membuatkan pemimpin Indonesia dan rakyatnya sendiri dilimpahi pengalaman politik berharga yang membolehkan mereka mengambilnya sebagai satu manfaat maksimum dari segala pengalaman-pengalaman itu untuk membentuk undang-undang politik yang lebih baik lantaran keluasaan kaedah formula dan kuantiti para kader politikus Islam di negara itu yang turut berpartisipasi dalam menentukan arah tuju negara sepanjang rentang waktu tersebut.

Adapun Malaysia, pengalaman kumpulan Islamis di sini dari sisi parti Islam itu sendiri mahupun parti lain yang selain daripadanya masih kecil. Mereka telah berjaya memperolehi bilangan kerusi parlimen yang sedikit sehinggalah pada tahun 1998, mereka mengadakan kerjasama politik dengan parti-parti pembangkang yang lain, barulah gabungan ini berjaya memperoleh 88 daripada 222 kerusi parlimen pada pilihan raya umum yang lalu.

Parti Islamis ini pernah jua sekali berpengalaman dalam memegang tampuk pemerintahan negara ketika menyertai kerajaan campuran bersama-sama parti pemerintah pada era 70-an dahulu, akan tetapi semua ini tidak bertahan lama dan hanya bersifat sementara sahaja.

Kini, parti ini kelihatan sedang berbalik kebelakang dengan menarik diri daripada mengadakan kerjasama dengan parti-parti pembangkang yang lain lalu bergerak bersendirian, pada saat negara sedang bersiap sedia menghadapi pilihan raya umum penting pada tahun ini yang mana memungkinkan perubahan pemerintahan jika koalisi dan gabungan antara parti-parti pembangkang ini masih diteruskan.

Perkembangan mutakhir ini membuatkan pemerhatian kami pada pengalaman kumpulan-kumpulan Islamis di Malaysia sebagai suatu perkara yang merisaukan dan membimbangkan kerana ianya bertentangan dengan segala pengalaman dan pengamalan kumpulan Islamis yang matang dalam mengimpikan pengislahan dan perubahan yang diingini seiring menegakkan apa yang dikehendakinya.

Maka, pendekatan politik yang terpilih untuk mencapai keputusan berlandaskan kepada sistem yang disepakati sehingga kami mampu membawa masyarakat untuk turut serta dan terlibat secara langsung membina sebuah negara baru yang berjaya.

Adapun negara lain di benua Asia Tenggara pula kebanyakkan penduduknya bukan beragama Islam kecuali Brunei Darussalam kerana ia merupakan sebuah negara beraja yang diperintah oleh sultan melalui sistem pewarisan bukan melalui mandat yang diberikan oleh rakyatnya.

Apakah pula kesukaran atau kekangan yang paling jelas kamu hadapi dalam mengaplikasi segala amal kerja sebagai sebuah pertubuhan Islam?

Kesusahan atau kekangan yang paling jelas kami hadapi adalah hal yang meningkatkan kerohanian, pemikiran dan keperibadian kami sendiri dengan meluaskan keseimbangan dalam segenap peringkat yang kami lalui agar kami memenuhi segala tuntutan di setiap peringkat terhadap segala persoalan penting yang dikemukakan setiap peringkat tersebut dengan sewajarnya. Jadi, keseimbangan dalam jalan yang kami telusuri mestilah kami lakukan dengan kaedah Islami semata untuk kemaslahatan negara dan hamba.

Seperkara lagi adalah menjalinkan hubungan baik dengan segenap lapis peringkat masyarakat dan pihak kerajaan dengan bersama merentasi jambatan toleransi untuk memperbaiki hal-hal berkaitan negara, meningkatkan keprihatinan bersama dari sisi kerajaan dan rakyat sehingga Malaysia mampu terkedepan, maju dan berada di peringkat tertinggi.

Hubungan kami dengan pertubuhan atau persatuan Islam yang lain pula adalah sangat baik bersandarkan prinsip saling memberi kerjasama tidak kira sesiapa sahaja yang menghulurkan tangan persahabatan yang sebenar dengan kami dengan cara hubungan nasihat-menasihati bagi mereka yang ingin berlumba-lumba mengerjakan amal di lapangan. Semoga amal yang dikerjakan itu menjadi persaingan yang sihat untuk maslahat Islam dan masa depan umat.

Terjemahan: Kelab IKRAM Mesir | http://goo.gl/PwjZQ6
Sumber asal: Portal al-Mujtama' | http://goo.gl/3QDqSy

Read 1086 times Last modified on Friday, 01 April 2016 11:26

Leave a comment

Make sure you enter the (*) required information where indicated. HTML code is not allowed.

Iklan Penaja

  

Pertubuhan IKRAM Malaysia

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM) yang didaftarkan pada 22 Oktober 2009 adalah pertubuhan dakwah, tarbiah dan kebajikan yang prihatin terhadap urusan-urusan kehidupan masyarakat umum sejajar dengan ajaran dan cara hidup Islam. IKRAM berusaha untuk menegakkan syariat Islam di Malaysia sebagai rahmat kepada seluruh alam. .

 

Facebook

TV IKRAM

tv ikram

Hubungi Kami

Pertubuhan IKRAM Malaysia (IKRAM)

No. 6, Jalan Dagang SB 4/1, Taman Sungai Besi Indah
43300 Seri Kembangan, Selangor Darul Ehsan, MALAYSIA

Tel: +603-8945 6999, +603-8945 3666
Fax : +603-8945 1772

E-mel

Umum: info@ikram.org.my
Pentadbiran: pentadbiran@ikram.org.my
Keahlian: keahlian@ikram.org.my
Kewangan: kewangan@ikram.org.my

DMC Firewall is a Joomla Security extension!